Bahagian Hab Halal, Jakim sekali lagi mendapat pengiktirafan atas kesungguhan, komitmen dan inovasi yang dilaksanakan dalam pensijilan halal. Sempena dengan SME Recognition Award 2013 yang diadakan pada 13 Disember 2013 di Sunway Pyramid Convention Centre, Jakim melalui Bahagian Hab Halal telah dianugerahkan SME Sahabat Negara Award 2013 oleh SMI Association of Malaysia.
SME Sahabat Negara Award adalah anugerah yang diberikan kepada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Institusi Kewangan, penyedia perkhidmatan fasiliti yang memberikan sumbangan besar dan bermakna kepada pembangunan dan promosi Perusahaan Kecil dan Sederhana (SMEs) di Malaysia.
Jakim terpilih atas sumbangan besar di dalam membangunkan industri halal di dalam negara khususnya di kalangan SMEs melalui pensijilan halal yang diiktiraf seluruh dunia. Inisiatif yang dilaksanakan dengan membangun, memantap dan menyelaraskan prosedur pensijilan halal yang dilaksanakan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) seluruh Malaysia adalah usaha besar yang telah banyak membantu pihak industri. Begitu juga dengan usaha pemantapan sistem e-halal yang kemudiannya diperluaskan penggunaannya kepada semua JAIN seluruh Malaysia memudahkan industri khususnya SMEs memohon pensijilan halal. Inisiatif-inisiatif lain yang mendapat pujian ialah seperti pengenalan aplikasi Halal Square dan Halal Verified Engine (HVE).
Selain Jakim, anugerah SME Sahabat Negara Award 2013 juga diberikan kepada beberapa institusi lain antaranya ialah SME Corporation Malaysia (SME Corp), Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad, Westport (Malaysia) Berhad, Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF), Malayan Banking Berhad, RHB Bank, Hong Leong Bank dan Alliance Bank Malaysia Berhad.
Anugerah yang diberikan membuktikan usaha dan penambah baikan berterusan yang dilaksanakan oleh Jakim telah mencapai matlamatnya dan manfaatnya telah dirasai oleh industri. Jakim bersama-sama dengan JAIN komited untuk terus berusaha menambahbaik perkhidmatan yang diberikan demi kemajuan industri halal khususnya kalangan SMEs yang merupakan kelompok terbesar pemegang sijil halal Malaysia.