Kuala Lumpur, 9 Julai 2013 – Bahagian Hab Halal JAKIM mengadakan Konvensyen Pematuhan Halal Kebangsaan 2013 bertujuan meningkat pemahaman serta memperkukuhkan prosedur dan garis panduan Pensijilan Halal Malaysia. Konvensyen ini juga turut melancarkan Sistem Pengurusan Jaminan Halal (Halal Assurance System –HAS) dan Permohonan Skim Logistik. Sebanyak lebih 200 peserta yang terdiri daripada auditor pensijilan halal Malaysia daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Agama Islam Negeri yang menghadiri dan menjayakan konvensyen ini.
Konvensyen ini telah diadakan di Grand Seasons Hotel, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JAKIM, Y.Bhg. Dato’ Hj. Othman Bin Mustapha. Turut hadir adalah Ybhg. Prof Emeritus Tan Sri Dato’ Dr. Abdul Sukor Bin Hj. Husin, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dengan pelancaran Sistem Pengurusan Jaminan Halal (HAS) ini, ia merupakan satu sistem bagi mengukuhkan kawalan dalaman dengan melaksanakan dan mengimplementasi polisi halal syarikat. Dengan berkonsepkan "Traceability, Responsibility and Accountability", setiap industri perlu bertanggungjawab memastikan HAS berjalan dengan berkesan yang merangkumi aspek kecukupan latihan dan kepakaran, prinsip sistem jaminan halal dan prosedur yang berkaitan. Sistem ini perlu diterajui oleh Jawatankuasa Halal Dalaman yang aktif dan giat memperkukuhkan pensijilan halal syarikat tersebut.
Dalam perlaksanaan HAS ini, Bahagian Hab Halal, Jakim memberi ‘grace period’ kepada setiap syarikat bertaraf multinasional yang telah mempunyai sijil halal Malaysia untuk menubuhkan HAS sehingga 31 Disember 2013 manakala bermula 1 Julai 2013, setiap syarikat multinasional yang pertama kali ingin memohon pensijilan halal Malaysia hendaklah mempunyai HAS terlebih dahulu sebelum membuat permohonan di dalam sistem e-halal.
Dalam konvensyen tersebut, permohonan pensijilan halal bagi Skim Logistik juga dilancarkan dengan sistem e-halal dibuka secara rasminya pada 1 Julai 2013 bagi kategori Pengangkutan dan Penggudangan. Jakim sangat memandang serius dalam pensijilan halal Malaysia untuk skim logistik ini terutamanya dalam pembangunan modal insan yang pakar melalui latihan,bengkel, kursus, seminar dan lawatan lapangan dari semasa ke semasa sesuai dengan hasrat menjadi pusat kepakaran (centre of excellence) dan peneraju pensijilan halal logistik.
Selain itu dengan berkonsepkan ‘Blue Ocean Strategy’, Jakim turut bekerjasama dengan STANDARDS MALAYSIA, SIRIM, MITRANS dan agensi lain yang berkaitan melalui perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam membangunkan skim logistik serta MS2424:2010. Permohonan skim logistik ini berdasarkan rujukan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Malaysian Standard MS2400:2010.
Segala maklumat dan keperluan berkaitan Sistem Pengurusan Jaminan Halal (HAS) dan permohonan skim logistik boleh dimuat turun melalui portal halal Malaysia (www.halal.gov.my).