CYBERJAYA 22 Januari 2013 (Selasa) – Bahagian Hab Halal, Jakim telah menerima rombongan lawatan TYT Ahmed Saad Omer, Menteri Hal Ehwal Kabinet Republik Sudan. Turut serta dalam lawatan beliau adalah beberapa pegawai kanan agensi yang turut terbabit dalam pensijilan halal Negara berkenaan. Mereka adalah Mr. Abdalla Hassan Eisa, Director General of Sudanese Standards & Metrology Organization (SSMO); Mr. Hafiz Sied Ahmed, Director of the Minister's Office; Dr. Awad Ahmed, Director General for Department of SSMO; Mr. Ezaddin Hussein, Minister's Office; Mr. El Tjani Bashir, Director of International Relations Unit of SSMO; Mr. Suleiman El Tayeb, Ministry of the Cabinet Affairs; Prof. Hamza Ahmed, Sudan Halal Technical Committee; Mr. Nadir Yousif Eltayeb Babiker, Ministry of Foreign Affairs/ Former Ambassador of Sudan to Malaysia; dan Mr. Abadi Nureldin Abdelrahman, Minister Plenipotentiary, Embassy of the Republic of Sudan in Kuala Lumpur.
Dalam ucapan aluan beliau, TYT Ahmad Saad Omer memaklumkan bahawa pensijilan halal adalah merupakan salah satu perkara baru bagi Sudan dan mereka berhasrat untuk menguasai kemahiran berkenaan. Malaysia, yang dianggap mempunyai kepercayaan Islam yang sama dengan Republik Sudan; dilihat sebagai rakan dalam kemahiran dan pengalaman pensijilan halal selain Malaysia juga merupakan pintu gerbang bagi kemasukan produk dari Sudan ke Asia Tenggara. Beliau juga berharap kedua-dua pihak akan lebih kerap bertemu pada masa akan datang bagi pertukaran maklumat dan kemahiran yang lebih banyak dalam usaha perdagangan produk halal bagi kedua-dua negara.
Beliau juga menyatakan hasrat agar Jakim dapat bekerjasama rapat dengan SSMO selaku agensi di Republik Sudan yang menjalankan pensijilan halal dan menghasilkan standard halal Negara berkenaan. Pihak Republik Sudan juga bersedia menjalin kerjasama bagi pemindahan kemahiran pensijilan halal termasuk berbentuk penempatan sementara pegawai kedua-dua Negara.
Puan Hakimah binti Mohd Yusoff, Pengarah Bahagian Hab Halal, Jakim memaklumkan bahawa Jakim amat mengalu-alukan lawatan delegasi Republik Sudan dan bersedia menjalinkan kerjasama dengan Negara berkenaan dalam aspek pensijilan halal. Jakim juga akan memanjangkan jemputan kepada SSMO bagi menghadiri Halal Certification Bodies Conference dan program latihan yang akan diadakan pada tahun ini.
Lawatan ini juga telah menyaksikan kedua-dua pihak bertukar-tukar maklumat, pandangan dan penjelasan berhubung pelbagai isu dan persoalan berkaitan pensijilan halal yang sedang dilaksanakan dalam sesi soal-jawab yang diadakan.